Thursday, December 15, 2011

Bridging Program

Assalamualaikum...

Alhamdulillah UiTM atas usahasama Kelab Teknologis Makmal telah memastikan Bridging Program berjalan sehingga ke fasa kedua. Kali ini, Kelab telah berusaha untuk memastikan Bridging Program kali ini akan sampai ke penamatnya setelah terkandas pada Tahap 2. Insyaallah Tahap 2 akan bersambung sedikit masa lagi. Diharap semua pembantu makmal bersabar kerana perkara yang baik memerlukan pengorbanan yang besar.
Namun begitu, terdapat beberapa aduan tentang perkara-perkara yang berlaku sepanjang Tahap 1 berlangsung. Yang paling utama ialah masalah kelakuan 'pelajar-pelajar' yang mengikuti program ini. Ada sesetengah pensyarah yang terkilan dengan sikap mereka yang tidak menghormati pensyarah sepertimana hubungan pelajar-pensyarah yang normal. Bersikap acuh tak acuh, menghisap rokok, tidak menumpukan perhatian semasa kuliah adalah sebahagian daripada rungutan pensyarah yang terlibat. Ini secara tidak langsung melemahkan semangat pensyarah itu sendiri dalam membantu pelajar-pelajar lulus dalam program ini. Akibatnya ada pensyarah yang ingin mengundur diri daripada menjadi tenaga pengajar untuk tahap seterusnya. Ini akan merugikan pelajar yang masih ada cita-cita untuk berjaya dan bersungguh-sungguh mencari ilmu dalam program ini. 
Diharap perkara-perkara seperti ini tidak harus berlaku untuk tahap-tahap yang akan datang demi menjaga maruah dan integriti semua pembantu makmal. "Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga". Sebagai salah seorang peserta Bridging Program yang telah lulus kesemua tahap, saya merayu kepada semua rakan-rakan pembantu makmal yang sedang dan akan mengikuti program ini supaya menghormati semua pensyarah yang mengajar kerana ilmu yang berkat datang dari hati yang ikhlas. Moderator Blog ingin memohon maaf kalau terkasar bahasa cuma ingin menegur untuk kebaikan kita bersama.

Terima kasih 

Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan ke-7 KTMUiTM

Assalamualaikum...

Untuk makluman kepada semua ahli kelab, Mesyuarat Agong Dwi-Tahunan yang sepatutnya berlangsung pada bulan September lepas telah ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Sehubungan itu Jawatankuasa kelab telah bersetuju untuk mengadakan mesyuarat agong kali ke-7 pada bulan depan. Berikut adalah butir-butir mesyuarat :
  1. Tarikh       : 12 Januari 2012
  2. Hari           : Khamis
  3. Tempat     : Bilik Seminar Epsilon, FSG
  4. Kehadiran dialu-alukan kepada semua pembantu makmal, juruteknologis makmal dan penolong pegawai sains 
Antara agenda mesyuarat agong kali ini adalah pelantikan jawatankuasa baru untuk sesi akan datang, laporan kewangan kelab, keahlian kelab dan sebagainya. Kehadiran tuan/puan amatlah dihargai. 
Semoga kehadiran tuan/puan dapat memajukan kelab kita dan mengukuhkan perpaduan di antara rakan-rakan kelab yang lain.

Sekian, terima kasih

KESKA Sale 2011 anjuran FKA

Assalamualaikum...

Kepada semua ahli kelab, KESKA Sale anjuran Fakulti Kejuruteraan Awam akan diadakan untuk kali yang kedua berikutan sambutan yang memberangsangkan. Sehubungan dengan itu, kepada sesiapa yang ingin menyumbang segala apa bentuk barangan sekalipun untuk dijual pada hari tersebut, bolehlah menghubungi En Burhanuddin Adnan (013-6077900) untuk tindakan selanjutnya. Semakin banyak barangan, semakin banyaklah hasil jualan. Untuk makluman, sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan kepada tabung Kelab Teknologis Makmal. Sumbangan dari tuan/puan amatlah dialu-alukan.
Beikut adalah butir-butir aktiviti tersebut :
  1. Tarikh       : 20 Disember 2011
  2. Masa         : 8.30 pagi hingga 4.30 petang
  3. Tempat     : Depan Blok 1, Makmal FKA
Kepada sesiapa yang berkelapangan bolehlah hadir pada tarikh dan masa tersebut untuk memeriahkan majlis KESKA Sale pada kali ini.

Sekian, terima kasih