KUALA
LUMPUR 13 Sept. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menjadikan isu perumahan
antara keutamaan dalam pembentangan Bajet 2013 kelak.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pembentangan tersebut dinanti-nanti seluruh rakyat negara ini termasuklah penjawat awam.
Menurutnya,
isu perumahan diharap menjadi penekanan memandangkan situasi harga
rumah yang melonjak dan di luar kemampuan, khususnya bagi 30 hingga 40
peratus penjawat awam.
"Ini
situasi yang membimbangkan. Golongan tersebut masih sukar memiliki
rumah bawah RM200,000 meskipun telah bekerja antara lima hingga 10 tahun
serta menggabungkan gaji suami dan isteri.
"Ini menyebabkan ada segelintir yang tidak mempunyai kediaman sendiri walaupun tiba tempoh persaraan," katanya.
Beliau
berkata demikian selepas majlis penyerahan memorandum oleh Persatuan
Penolong Pegawai Sains institusi pengajian tinggi awam (IPTA) (PPPSIPTA)
dan Harapan Bajet 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Hadir sama Presiden PPPSIPTA, Zainal Abidin Bahari.
Menurut
Osman, CUEPACS juga berharap pembentangan bajet kali ini memberi
harapan baru kepada pekerja sektor awam termasuk pemberian bonus.
"Sekiranya
kerajaan memberi bonus sebanyak dua bulan atau sebulan gaji kepada
penjawat awam, ini menunjukkan kemampuan ekonomi negara, selain menjadi
sejarah serta perubahan dalam sektor awam.
"Kami juga berharap permohonan elaun dan insentif sektor awam kembali dipertimbangkan," katanya.
Mengulas
penyerahan memorandum hari ini, Osman berkata, ia berkaitan dengan
tuntutan menaik taraf skim perkhidmatan pembantu makmal di IPTA seluruh
negara.
Katanya,
tuntutan yang diminta itu selari dengan tugas pembantu makmal
universiti yang membantu melakukan penyelidikan, memantau latihan amali
pelajar dan banyak lagi.
"Kira-kira 1,200 pembantu makmal sahaja yang mendapat kenaikan pangkat sejak ia dinaik taraf pada 2005.
"Menginjak ke tahun 2009, skim berkenaan kembali bergerak perlahan dan kini seramai 387 pembantu makmal lagi telah lulus Bridging Programme pada 2010/2011 tetapi masih belum dinaikkan pangkat," katanya.
Omar
memberitahu, memorandum tersebut akan diserahkan pada 20 September ini
untuk perhatian Setiausaha Bahagian dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian
Tinggi, Prof. Datuk Rujhan Mustafa.
"Jika
tiada sebarang tindakan sehingga 1 November depan, pihak universiti
mungkin menghadapi masalah dan pengajian pelajar akan terjejas kerana
kumpulan ini bakal melaksanakan work to rule atau bekerja mengikut waktu pejabat," katanya lagi.
-utusan/maa.