Thursday, October 4, 2012

Utamakan rumah penjawat awam

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menjadikan isu perumahan antara keutamaan dalam pembentangan Bajet 2013 kelak.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pembentangan tersebut dinanti-nanti seluruh rakyat negara ini termasuklah penjawat awam.

Menurutnya, isu perumahan diharap menjadi penekanan memandangkan situasi harga rumah yang melonjak dan di luar kemampuan, khususnya bagi 30 hingga 40 peratus penjawat awam.

"Ini situasi yang membimbangkan. Golongan tersebut masih sukar memiliki rumah bawah RM200,000 meskipun telah bekerja antara lima hingga 10 tahun serta menggabungkan gaji suami dan isteri.

"Ini menyebabkan ada segelintir yang tidak mempunyai kediaman sendiri walaupun tiba tempoh persaraan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan memorandum oleh Persatuan Penolong Pegawai Sains institusi pengajian tinggi awam (IPTA) (PPPSIPTA) dan Harapan Bajet 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Hadir sama Presiden PPPSIPTA, Zainal Abidin Bahari.

Menurut Osman, CUEPACS juga berharap pembentangan bajet kali ini memberi harapan baru kepada pekerja sektor awam termasuk pemberian bonus.

"Sekiranya kerajaan memberi bonus sebanyak dua bulan atau sebulan gaji kepada penjawat awam, ini menunjukkan kemampuan ekonomi negara, selain menjadi sejarah serta perubahan dalam sektor awam.

"Kami juga berharap permohonan elaun dan insentif sektor awam kembali dipertimbangkan," katanya.

Mengulas penyerahan memorandum hari ini, Osman berkata, ia berkaitan dengan tuntutan menaik taraf skim perkhidmatan pembantu makmal di IPTA seluruh negara.

Katanya, tuntutan yang diminta itu selari dengan tugas pembantu makmal universiti yang membantu melakukan penyelidikan, memantau latihan amali pelajar dan banyak lagi.

"Kira-kira 1,200 pembantu makmal sahaja yang mendapat kenaikan pangkat sejak ia dinaik taraf pada 2005.

"Menginjak ke tahun 2009, skim berkenaan kembali bergerak perlahan dan kini seramai 387 pembantu makmal lagi telah lulus Bridging Programme pada 2010/2011 tetapi masih belum dinaikkan pangkat," katanya.

Omar memberitahu, memorandum tersebut akan diserahkan pada 20 September ini untuk perhatian Setiausaha Bahagian dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Rujhan Mustafa.

"Jika tiada sebarang tindakan sehingga 1 November depan, pihak universiti mungkin menghadapi masalah dan pengajian pelajar akan terjejas kerana kumpulan ini bakal melaksanakan work to rule atau bekerja mengikut waktu pejabat," katanya lagi.

-utusan/maa.

Friday, September 21, 2012

Artikel Dari JPA bertajuk "Mohon Kerajaan Naik Pangkat Pembantu Makmal"


Laman Utama // Maklum Balas Akhbar // Maklum Balas Akhbar: "Mohon Kerajaan Naik Pangkat Pembantu Makmal"

Maklum Balas Akhbar: "Mohon Kerajaan Naik Pangkat Pembantu Makmal"
E-mailCetakPDF

18 September 2012
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada artikel bertajuk "Mohon Kerajaan Naik Pangkat Pembantu Makmal" bertarikh 30 Ogos 2012 yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian. Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai Pihak Berkuasa Melantik boleh melantik Pembantu Makmal Gred C17 yang telah mengikuti kursus peralihan untuk mengisi kekosongan jawatan Penolong Pegawai Sains Gred C27 di IPTA. Kursus peralihan yang dilaksanakan oleh IPTA bertujuan menyediakan laluan kepada Pembantu Makmal Gred C17 meningkatkan kerjaya mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Namun, pelantikan Pembantu Makmal Gred C17 yang telah mengikuti kursus peralihan kepada Penolong Pegawai Sains Gred C27 adalah tidak secara automatik kerana ianya tertakluk kepada kekosongan jawatan di sesebuah IPTA. Sehingga 31 Ogos 2012, jumlah keseluruhan perjawatan Pembantu Makmal Gred C17/C22 di 20 IPTA adalah 1,296 jawatan. Manakala jumlah perjawatan Penolong Pegawai Sains Gred C27/C32 adalah 750 jawatan. Jawatan Penolong Pegawai Sains Gred C27 diwujudkan mengikut keperluan berdasarkan skop fungsi tugas makmal di sesuatu fakulti atau pusat di IPTA sama ada sesuai atau wajar dilaksanakan oleh Pembantu Makmal Gred C17 atau Penolong Pegawai Sains Gred C27. Justeru, Jabatan ini berpandangan, IPTA dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu mengenal pasti jawatan Pembantu Makmal Gred C17 yang boleh ditukar ganti kepada Penolong Pegawai Sains Gred C27 berdasarkan skop dan kompleksiti tugas yang sesuai dan setaraf dengan peningkatan gred jawatan. Dalam masa yang sama, KPT dan IPTA juga perlu merancang dengan teliti keperluan untuk melaksanakan kursus peralihan kerana pelantikan Pembantu Makmal Gred C17 ke jawatan Penolong Pegawai Sains Gred C27 tertakluk kepada kekosongan jawatan.

Corporate Communications Unit
Public Service Department Malaysia
Putrajaya
14 September 2012

Friday, August 3, 2012

Bridging Program Tahap 2


Assalamualaikum w.b.t

Selamat Berpuasa

Bridging Program Fasa 2 Tahap 2 telah bermula pada Isnin 30 Julai 2012. Seramai 27 orang daripada 35 yang telah lulus Tahap 1 hadir dan memulakan sesi kuliah yang berjalan serentak  bermula dari jam 8.30 pagi hingga 6.00 ptg.

Tahap 2 adalah merupakan subjek khusus yang terdiri dari subjek Fizik, Biologi, Kimia dan ICT. Sesi ini berjalan selama dua minggu sehingga 12 Ogos 2012. Tahniah kepada yang berjaya ditawarkan sesi kali ini, semoga berjaya walaupun terpaksa berkorban masa dibulan puasa mudah-mudahan berkat bulan yang mulia ini kejayaan dan keberkatan akan mendampingi anda semua. Kepada rakan-rakan yang belum berjaya jangan putus asa InsyaAllah pihak JPBSM akan mengusahakan peluang mengulang subjek yang gagal pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Cepat atau lambat proses Bridging Program ini yang pentingnya anda semua mengambil peluang yang ada dengan membantu dan memberi sokongan moral bersama Persatuan Penolong Pegawai Sains UiTM dan Kesatuan Kakitangan Umum UiTM dengan kesepakatan dalam GAKUM dan GAJUM di bawah CUEPACS bagi memastikan tukar lantik Pembantu Makmal ke Penolong Pegawai Sains di semua IPTA terlaksana seperti yang dipersetujui bersama KPT dan JPA.

SELAMAT BERUSAHA DAN SEMOGA BERJAYA…

Presiden 
Persatuan Penolong Pegawai Sains UiTM 


Monday, July 23, 2012

Himpunan Transformasi Dan Ikrar Integriti Pembantu Makmal Dan Penolong Pegawai Sains IPTA Malaysia

Pada 11 Julai 2012 telah berlangsung Himpunan Transformasi Dan Ikrar Integriti Pembantu Makmal Dan Penolong Pegawai Sains IPTA Malaysia yang bertempat di Dewan Graha, Kolej Anggerik. Program ini telah dianjurkan oleh KKUUITM dengan kerjasama Persatuan Penolong Pegawai Sains UiTM. Kehadiran amat menggalakkan dari semua pembantu makmal dan penolong pegawai sains UiTM dan IPTA seluruh Malaysia yang menjangkau hampir 100 orang. Antara aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut ialah Ikrar Integriti oleh semua staf yang hadir dan juga amanat dari Presiden Cuepacs, Dato' Omar Bin Osman. 

Tujuan himpunan ini diadakan adalah untuk menyatakan taat setia pembantu makmal dan penolong pegawai sains kepada institusi yang diwakili dan juga memberi maklumat - maklumat terbaru berkaitan dengan jawatan pembantu makmal serta penolong pegawai sains. Ini termasuklah tentang perjalanan Bridging Program yang semakin perlahan di semua IPTA. Pelbagai usaha akan dilakukan oleh pihak Cuepacs dan kelab makmal di institusi masing - masing untuk menghangatkan kembali perjalanan Bridging Program kali ini. 

Di UiTM sahaja terdapat seramai 60 orang peserta Bridging Program  yang menunggu sambungan Tahap 2 program tersebut. Insyaallah Bridging Program Tahap 2 akan bermula dalam masa yang terdekat ini berikutan perbincangan dengan pihak penganjur program di tahap yang terakhir. Diharap apabila bermulanya Tahap 2 nanti, peserta akan belajar bersungguh - sungguh untuk lulus dan boleh meneruskan pengajian ke Tahap 3 pula. Semoga berjaya kepada semua staf yang akan mengambil Bridging Program Tahap 2 kelak

Gambar - gambar sila klik di sini>>>

Thursday, July 19, 2012

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak







Nabi bersabda, "Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan, adalah penghapus dosa-dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika dijauhi dosa-dosa besar.” (HR Muslim no: 233)

Selamat Berpuasa
Marilah kita sama-sama mengucapkan "Marhaban Ya Ramadan".

Mengucapkan "Marhaban Ya Ramadan" (Selamat Datang Ramdhan) dengan ikhlas menunjukkan kita gembira menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini.

Rasulullah sendiri gembira setiap kali kedatangan bulan Ramadan.

Rasulullah mengucapkan "tahniah" kerana kedatangan bulan Ramadan.

Berita gembira itu disampaikan pula kepada sahabatnya sambil bersabda : "Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramdhan, bulan yg penuh keberkatan. Allah memfardukan atas kamu berpuasa. Di dalam bulan Ramadan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barang siapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu, maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan." (Riwayat Ahmad)

"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." (Riwayat Muslim)

"Sesiapa sempat bertemu Ramadan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh dia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan ikhlas mengharapkan pahala dari Allah, maka dosanya yang lalu akan diampun oleh Allah.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Marhaban Ya Ramadan.

Selamat berpuasa dan moga kita semua dirahmati Allah di bulan Ramadan ini.

Ikhlas dari
Moderator blog...

Friday, March 2, 2012

Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan ke-7 KTMUiTM (Keputusan)

Salam kepada semua staf makmal...

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi Mesyuarat Agung kali ke-7 yang lepas telah berlangsung dengan jayanya. Ramai muka - muka baru yang menerajui pimpinan dalam Kelab Teknologis Makmal di samping senior - senior yang masih diperlukan jasa mereka. Diharap kita semua dapatlah memberi sokongan kepada pimpinan baru ini untuk melaksanakan tanggungjawab yang berat demi membawa kelab kita lebih cemerlang dan terbilang pada masa akan datang

Berikut adalah pimpinan baru yang akan memikul tugas bermula tahun ini sehingga tahun 2013

  1. Pengerusi                     - En Burhanuddin Adnan
  2. Timbalan Pengerusi   - En Ahmad Dahari Ishak
  3. Setiausaha                    - Cik Za'tul Iffah Omar
  4. Penolong Setiausaha  - Pn Nor Ramliza Ramli
  5. Bendahari                     - En Mohammad Suffian Ahmad
  6. AJK 
    • Tn Hj Hayub Ta
    • En Mohd Syeth Ahmad
    • Pn Nornaziha Jamil
    • En Md Desa Saidin
    • En Mohd Nazmi Mukelas
    • En Mohamad Azmir Azizan
    • En Baharudin Ahmad Kanan
    • En Mohd Azmi Mohd Mukhatar
    • En Zubir Othman
    • Pn Norhaslina Hussin
Di dalam mesyuarat tersebut, telah diputuskan bahawa yuran keahlian adalah sebanyak RM2.00 sebulan ataupun RM24.00 setahun. Bayaran boleh dibuat kepada wakil fakulti masing - masing dengan mengisi borang keahlian yang boleh didapati dalam blog kelab. Semoga dapatlah semua staf makmal menjadi ahli dan membayar yuran yang dikenakan demi memajukan kelab kita.

Sekian, terima kasih

Tetamu Jemputan VIP


Perasmian oleh Dr Hjh Zahrah
Gambar kenangan bersama pimpinan lama

Untuk gambar - gambar yang lain sila klik di sini >>>

Tuesday, February 7, 2012

Mesyuarat Agung Kelab Teknologis Makmal kali ke-7

Assalamualaikum..

Kepada semua pembantu makmal dan penolong pegawai sains, satu Mesyuarat Agung Kelab Teknologis Makmal kali ke-7 akan diadakan untuk memilih organisasi baru bagi penggal 2012/13 yang akan datang. Berikut adalah maklumat berkaitan mesyuarat tersebut
  1. Tarikh        :  16 Februari 2012 ( Khamis )
  2. Tempat      :  Bilik Mesyuarat Epsilon  401, Fakulti Sains Gunaan
  3. Masa         :  8.30 pagi - 1.00 tgh hari
Diharap semua pembantu makmal dan penolong pegawai sains dapatlah menghadirkan diri ke mesyuarat tersebut. Kehadiran anda semua amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.