Thursday, December 15, 2011

Bridging Program

Assalamualaikum...

Alhamdulillah UiTM atas usahasama Kelab Teknologis Makmal telah memastikan Bridging Program berjalan sehingga ke fasa kedua. Kali ini, Kelab telah berusaha untuk memastikan Bridging Program kali ini akan sampai ke penamatnya setelah terkandas pada Tahap 2. Insyaallah Tahap 2 akan bersambung sedikit masa lagi. Diharap semua pembantu makmal bersabar kerana perkara yang baik memerlukan pengorbanan yang besar.
Namun begitu, terdapat beberapa aduan tentang perkara-perkara yang berlaku sepanjang Tahap 1 berlangsung. Yang paling utama ialah masalah kelakuan 'pelajar-pelajar' yang mengikuti program ini. Ada sesetengah pensyarah yang terkilan dengan sikap mereka yang tidak menghormati pensyarah sepertimana hubungan pelajar-pensyarah yang normal. Bersikap acuh tak acuh, menghisap rokok, tidak menumpukan perhatian semasa kuliah adalah sebahagian daripada rungutan pensyarah yang terlibat. Ini secara tidak langsung melemahkan semangat pensyarah itu sendiri dalam membantu pelajar-pelajar lulus dalam program ini. Akibatnya ada pensyarah yang ingin mengundur diri daripada menjadi tenaga pengajar untuk tahap seterusnya. Ini akan merugikan pelajar yang masih ada cita-cita untuk berjaya dan bersungguh-sungguh mencari ilmu dalam program ini. 
Diharap perkara-perkara seperti ini tidak harus berlaku untuk tahap-tahap yang akan datang demi menjaga maruah dan integriti semua pembantu makmal. "Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga". Sebagai salah seorang peserta Bridging Program yang telah lulus kesemua tahap, saya merayu kepada semua rakan-rakan pembantu makmal yang sedang dan akan mengikuti program ini supaya menghormati semua pensyarah yang mengajar kerana ilmu yang berkat datang dari hati yang ikhlas. Moderator Blog ingin memohon maaf kalau terkasar bahasa cuma ingin menegur untuk kebaikan kita bersama.

Terima kasih 

No comments:

Post a Comment